Publish : Tue, 08/Sep/15 02:16:47 PM |
Views : 5011 |
BERTEMAKAN Runut Bunyi (OST), konsert Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) minggu kelima dilihat berjaya menyerlahkan keupayaan vokal sepuluh pelajar yang membuat persembahan, malam kelmarin.
Selaku pengetua, Edry Abdul Halim memberitahu sehingga minggu kelima, beberapa kelemahan pelajar telah dikenal pasti dan fokus sepenuhnya untuk minggu ini lebih kepada keupayaan vokal.
“Bermula dengan minggu pertama, kami cuba membantu pelajar secara keseluruhan.
“Selepas minggu demi minggu tenaga pengajar sudah mula nampak kelemahan mereka masing-masing dan untuk minggu ke lima ini kami cuba tekankan pada kebolehan vokal pelajar.
“Lagi pun tema yang diberikan untuk minggu ini agak mencabar apabila mereka diberi tugasan untuk membawa lagu yang boleh dikatakan berat.
“Saya rasa kebolehan dari segi vokal masing-masing menyerlah dan mereka berjaya sampaikan lagu dengan baik walaupun ada sedikit kecacatan persembahan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyingkiran pelajar perempuan setiap minggu, Edry menyifatkan ia merujuk kepada trend pengundian penonton.
“Dari segi kebolehan, mereka semua berada dalam keadaan yang seimbang cuma saya lihat pelajar lelaki lebih ada usaha untuk belajar dan ambil tahu.
“Namun pada masa yang sama, ada juga pelajar perempuan yang sudah membuatkan saya terkejut iaitu Rachel yang berjaya menunjukkan kebolehannya minggu ini, begitu juga dengan Bila dan juga Lisa yang berada di kedudukan empat teratas bersama Sufi.
“Kesimpulannya mungkin dari segi kuantiti pelajar perempuan berkurang tapi kualitinya pelajar perempuan masih mendahului pelajar lelaki,” jelasnya.
Aziah puas hati
Akui berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan, Aziah bagaimanapun akui sentiasa bersedia menghadapi situasi penyingkiran setiap minggu.
“Setiap minggu saya memang bersedia menghadapi situasi ini dan saya anggap setiap persembahan adalah persembahan terakhir saya.
“Saya tidak terfikir untuk tersingkir tapi saya memang sudah bersedia dan menerima keputusan ini. Segala kritikan saya tidak ambil hati malah akan manfaatkannya untuk perbaiki kelemahan yang ada.
“Mungkin setakat ini sahaja rezeki saya di sini,” tuturnya tenang.
Ditanya apakah perancangannya selepas ini, anak kelahiran Tuaran Sabah ini akui mahu menamatkan pelajarannya dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah terlebih dahulu.
“Sekarang saya berada di semester akhir dan saya akan habiskan pengajian ini terlebih dahulu.
“Jika selepas itu masih ada rezeki dalam bidang nyanyian, saya akan teruskan,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.
Pada konsert lalu, Aziah telah membawakan lagu berjudul ‘Teruja & Generasiku’ yang merupakan tema filem ‘Gol & Gincu itu dan menerima peratusan undian terendah sebanyak 6.92%.