Publish : Thu, 10/Dec/15 10:30:59 AM |
Views : 4092 |
Setelah menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat dua tahun lalu, nampaknya rezeki buat pelakon Juliana Evans atau yang lebih mesra disapa Jue masih ada sebagai anak seni. Malah dia juga masih memiliki peminat tersendiri, apatah lagi percubaan pertamanya menerusi pementasan teater 'Bawang Putih Bawang Merah' mendapat maklum balas yang positif dari peminat.
"Selain mendapat pelbagai tawaran sebagai duta dan model, tawaran lakonan juga masih banyak. Saya sangat bersyukur kerana industri masih menerima saya sehingga kini," katanya.
Lakonannya membawa watak antagonis, iaitu Bawang Putih menerusi pementasan baru-baru ini perlu diberi pujian kerana lenggok badan, gaya bahasa dan ekspresi mukanya begitu menjadi. Sememangnya watak tersebut memerlukan latihan yang keras untuk menjiwainya dan Jue bersedia dibenci oleh penonton menerusi watak Bawang Putih yang dilakonkan.
"Watak dan tanggung jawab ini cukup besar buat saya. Saya bersedia untuk dibenci untuk ini dan Alhamdulillah maklum balas cukup positif apabila ada yang menyampah dan membenci lakonan saya. Sebelum ke pentas IB, saya memang kembali menonton filem Bawang Putih Bawang Merah untuk mengambil mood dan menyegarkan ingatan kembali kepada cerita ini," ujarnya.
Juliana juga bakal muncul dalam dua filem iaitu Bella dan Jemmy serta Alif Dalam Tujuh Dimensi.