Publish : Thu, 08/Sep/16 08:28:03 PM |
Views : 3479 |
Bagi sesetengah selebriti, memuat naik gambar mesra bersama pasangan di laman sosial adalah perkara biasa, tetapi bagi Marsha Milan Londoh pula jarang sekali dapat melihat gambar beliau dengan suami. Jelasnya suaminya adalah seorang yang pemalu dan kurang suka mengambil gambar walaupun beliau pernah memujuk namun permintaannya ditolak.
“Tidak, saya bukan sorok suami. Tapi dia memang seorang yang pemalu dan tidak suka sangat bergambar. Sebab itu, jarang saya dapat berkongsi di laman sosial gambar kami berdua. Katanya, dia segan,” katanya kepada portal Media Hiburan ketika ditanya mengenai sebab beliau dilihat jarang memuat naik gambar berdua dengan suami di laman sosial.
Selain itu Marsha turut berkongsi rutin hariannya kini yang gemar memasak. Mempunyai seorang suami yang suka makan tetapi tidak cerewet merupakan bonus bagi Marsha untuk memasak apa sahaja. Namun katanya, beliau kini sedang mempelajari masakan Pulau Pinang memandangkan suaminya itu berasal dari negeri itu, biarpun masih belum mahir sepenuhnya.
Manakala ketika ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi, Marsha memberitahu bahawa dirinya tidak dapat beraya bersama suami pada tahun ini kerana terpaksa pulang ke Sabah untuk menghadiri majlis kenduri keluarga sendirian. Dengan itu suaminya hanya pulang ke rumah beliau di Pulau Pinang.