Publish : Thu, 31/Mar/16 02:50:30 PM |
Views : 3143 |
Pelakon dan pengacara terkenal, Scha al-Yahya akui masih belum bersedia untuk digandingkan bersama suami tersayang, Awal Ashaari yang juga merupakan seorang pelakon dan pengacara hebat. Baginya, Awal mempunyai kelas dan gaya tersendiri sebagai pengacara yang boleh membuatkan dirinya berasa tenggelam.
“Bagi saya, Awal pengacara yang sangat bagus. Dia sentiasa bijak dan peka mengenai isu sekeliling. Malah sebelum mendapat tugasan bagi mana-mana acara yang dihoskan, dia akan mendapatkan info-info terlebih dahulu. Sebab itu saya bimbang jika sepentas dengannya, saya akan tenggelam,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya lagi, apabila bercakap mengenai gandingan mereka, Scha akui pernah menolak tawaran untuk mengacarakan sebuah program bersama Awal kerana masih belum bersedia. Tetapi jelasnya jika beliau mendapat tawaran yang sama lagi selepas ini, mungkin ianya boleh dipertimbangkan.
Dalam perkembangan terbaru, Scha akan kembali ke bidang pengacaraan bersama pelakon terkenal, Shaarnaz Ahmad dalam sebuah program terbitan Astro yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Bercakap mengenai perkara itu, Scha berpendapat bahawa peluang yang diberikan itu tepat pada masanya memandangkan anak perempuan beliau yang sudah besar.