Publish : Wed, 09/Sep/15 12:12:33 PM |
Views : 5638 |
Bintang sensasi YouTube yang seorang ini tidak perlu lagi diperkenalkan kepada khalayak. Sebut sahaja judul lagu lantunannya, 'Knock Knock', ramai akan terbayangkan video muzik comel yang penuh warna-warni itu.
Terbaru, penyanyi bernama Elizabeth Tan ini sedang sibuk dengan beberapa program kempen, dan pada masa yang sama mempromosikan filem pertama lakonannya, 'Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium'.
Jika sebelum ini, Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy itu pernah mengikuti kelas vokal, kini, dia merancang pula untuk mengikuti kelas tarian. Katanya, bagi memantapkan lagi persembahannya tatkala berada di pentas.
“Kritikan yang diterima tidak membuatkan saya serik sebaliknya menguatkan lagi usaha saya untuk memperbaiki kelemahan dan kerana itu, saya mengikuti kelas vokal. Tapi, bagi memberikan satu kelainan, saya perlukan sesuatu yang segar dan baru. Sebab itu, saya pilih untuk menari dan merancang untuk mengikuti kelas tarian. Tambahan pula, saya mungkin muncul dengan genre muzik yang berentak rancak ala-ala KPop,” katanya menerusi Sinar Harian Online.
Selain mahu memperbaiki persembahannya dan tidak nampak membosankan, Lizzy juga ingin tampil lincah dan bertenaga ketika berada di pentas. Dia juga turut menjadikan Stacy sebagai inspirasi.
“Peminat menyukai saya menyanyi dan menari pada masa sama. Kata mereka, ia lebih menghiburkan. Saya pernah bertanya pada salah seorang penari Stacy, mereka mengambil masa sehingga sebulan untuk berlatih bagi satu lagu. Kalau saya, pasti akan mengambil tempoh lebih panjang.
“Tapi, satu hari nanti, saya mahu menjadi seperti Stacy yang mampu menyanyi dan menari dengan baik,” katanya lagi.
Penghujung September ini, dia akan terbang ke United Kingdom untuk menerima jemputan membuat persembahan di sebuah majlis. Kepada Lizzy, semoga terus sukses dalam apa jua bidang yang diceburi.