Publish : Sun, 06/Sep/15 09:10:14 AM |
Views : 6077 |
Lepas satu, satu kontroversi timbul membabitkan pelakon Tasha Shila.
Selepas lenyap isu gambar lucah didakwa dirinya, terbaru Tasha dikatakan bergaduh dengan bekas kekasih juga pengiat sukan lasak Muay Thai, Han Wong.
Tasha atau Natasha Sheila Abdul Razak didakwa mengupah 40 kaki pukul untuk ‘membelasah’ bekas kekasihnya itu sebagaimana laporan polis yang dilakukan Han.
Bagaimanapun, Tasha dan Han mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu memberi sebarang kenyataan membabitkan isu terbabit.
Sehari sebelum kejadian berlaku, Tasha yang ditemui sewaktu majlis pelancaran produk menjelaskan, sebarang isu kontroversi dikaitkan dengan dirinya sedikit pun tidak menjejaskan tumpuannya kepada kerjaya.
Tawaran berlakon juga tidak pernah putus, malah dia terpaksa mengambil cuti selama tiga bulan untuk berehat panjang selepas bekerja tanpa henti selama setahun.
"Saya tidak pernah berkecil hati dengan pelbagai tohmahan orang keliling berikutan pelbagai kontroversi atau cerita negatif timbul membabitkan diri saya.
"Lagipun, apa yang berlaku itu tidak benar (membabitkan dakwaan gambar lucah yang tersebar).
Sebagai orang yang tidak bersalah, saya melakukan perkara yang sepatutnya saya lakukan dengan membuat laporan polis," katanya.
Kata Tasha, dia percaya segala yang berlaku berkaitan dirinya adalah dugaan dan ada hikmah di sebaliknya.
Dia percaya satu hari nanti umum akan tahu kebenarannya.
"Saya pula tidak suka kecoh-kecoh apabila ada perkara negatif timbul membabitkan diri saya.
Kalau perkara sudah berlalu itu tidak perlu difikirkan lagi.
Lupakan.
Lama-kelamaan orang yang sering bercakap mengenai diri saya akan bosan dan diam.
"Dari sudut lain, saya selalu berfikiran positif terhadap perkara negatif yang cuba dikaitkan dengan diri saya.
Percayalah dalam dunia ini ada orang suka kita dan ada yang tidak.
Saya sebagai manusia tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang," katanya.
Kata Tasha, kebanyakan orang suka menilai dirinya dari luaran dan apa juga pandangan mereka terhadap dirinya dia tidak mampu untuk menghalang.
"Apa yang penting, saya cuba melakukan yang terbaik sama ada dari sudut peribadi mahupun kerjaya untuk diri sendiri dan keluarga.
"Pembenci akan tetap ada, namun percayalah mereka inilah yang membuatkan saya menjadi bertambah kuat setiap hari untuk berdepan dengan cabaran dan dugaan hidup.
"Pada saya, setiap isu negatif yang dikaitkan dengan diri, saya tidak perlu mempertahankan atau memberikan sebarang penjelasan kepada orang luar.
Cukup saya dan keluarga yang tahu," katanya.
Menjadikan keluarga sebagai sumber kekuatannya, Tasha akui ibunya tulang belakangnya dan keluarga akan menyokongnya apabila berhadapan situasi kurang menyenangkan.
Selepas putus cinta dengan Han, Tasha akui lebih senang hidup sendiri dan tidak terfikir untuk mencari pengganti dalam waktu terdekat.
"Saya tidak sunyi kerana ada keluarga bersama saya.
Kawan-kawan sejati juga sentiasa ada bersama saya untuk membuat saya gembira.
"Saya juga tidak punya masa untuk memikirkan segala masalah yang timbul kerana sibuk dengan penggambaran drama," katanya.