Publish : Mon, 29/Aug/16 05:04:08 PM |
Views : 5084 |
Mengambil keputusan untuk membuka hijab selepas tiga tahun Uqasha Senrose tampil dengan imej bertudung, nampaknya mengundang kemarahan orang ramai yang menganggap beliau seperti mempermainkan agama. Bukan setakat itu sahaja, malah tindakan Uqasha yang dahulunya memakai tudung kerana putus cinta juga turut dikritik hebat oleh peminatnya di laman sosial.
Menerusi akaun Facebook, Uqasha juga dilihat memuat naik beberapa gambar dirinya yang mula membuka tudung ketika bergambar dengan dua lagi adiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose. Bagaimanapun, sikap terbuka Uqasha memuat naik gambar sejurus selepas pengakuan ekslusif semalam menerima pelbagai komen negatif berkaitan dengan ajal dan balasan di akhirat.
Tidak kurang juga ada pihak yang mendakwa bahawa Uqasha terlalu bimbang akan popularitinya yang semakin jatuh serta sikap cemburukan adiknya, Nelydia yang sering mendapat pujian berbanding dirinya merupakan punca beliau bertindak membuka tudung , selain lebih bebas untuk berpakaian dan tidak terbatas dengan imej bertudung yang selama ini dibawanya.
Namun begitu, ramai juga yang masih berfikiran positif dan mendoakan pelakon kesayangan mereka itu mendapat hidayah dan terbuka hati untuk memakai hijab dengan ikhlas dan kekal selepas ini. Ada juga yang menganggap keputusan Uqasha itu hanya kerana ingin bersikap tidak menipu diri sendiri selain tidak lagi perlu berpura-pura melakukan sesuatu dengan tidak ikhlas.
Semalam, Uqasha mendedahkan dirinya tidak mahu lagi bertudung dan mengakui bahawa selama tiga tahun berhijab, imannya seakan tidak stabil. Malah katanya lagi, keputusan bertudung dulu hanya dibuat kerana kecewa putus cinta dan merasakan beliau seperti munafik kerana menonjolkan sikap yang tidak bertepatan dengan imej berkenaan dan ingin menjadi diri sendiri. - RK