Publish : Thu, 17/Sep/15 04:06:50 PM |
Views : 3851 |
Berpeluang menunaikan umrah baru-baru ini, Nabil Ahmad hanya mampu mengucapkan rasa syukur apabila doanya untuk menunaikan haji kini bakal termakbul apabila dia akan berangkat ke Tanah Suci seorang diri pada 19 September ini.
“Syukur Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya ucap pada nikmat yang Allah kurniakan. Mendapat jemputan pada usia masih muda, bukanlah satu benda yang boleh diperoleh begitu sahaja. Saya teruja, tidak sabar dan sangat gembira kerana dimakbulkan doa sewaktu mengerjakan umrah agar dijemput lagi ke Tanah Suci”
“Saya dihubungi oleh seorang rakan yang bertanggungjawab membawa saya mengerjakan umrah pada bulan puasa lalu kira-kira sebulan lepas. Dia juga yang pernah berpesan ketika kami berada di Mekah agar sentiasa berdoa untuk Allah jemput lagi untuk ibadah haji pula”
“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Tambah istimewa, saya dan 21 jemaah yang turut sama dalam rombongan persendirian ini bakal mengerjakan Haji Ifrad. Maksudnya, saya akan terus niat mengerjakan haji ketika dalam pesawat dan turun dengan berpakaian ihram sehingga 24 September iaitu pada Hari Raya Korban,” jelas Nabil kepada Kosmo!
Menurut Nabil, dia kini sudah bersedia sepenuhnya dan tambahnya, antara hajat dan doa yang mahu dipohonnya nanti di Tanah Suci adalah mengenai keamanan negara demi masa depan anak-anaknya yang lebih cerah dan aman. Semoga segala urusan Nabil dipermudahkan sepanjang berada di sana nanti.