Publish : Mon, 06/Jun/16 11:51:43 AM |
Views : 4619 |
SELEPAS pulang dari mengerjakan umrah pada Februari lalu, Sharifah Shahirah atau lebih dikenali sebagai Shira telah berkongsikan berita kehamilannya bersama peminat.
Bagaimana pun Shira mengakui berasa bimbang dan kekok memandangkan kali terakhir dia hamil adalah tujuh tahun lalu.
Menurutnya, hamil di usia 40an bukanlah perkara mudah kerana dia kerap mengalami keletihan dan kehamilannya kali ini juga berbeza berbanding sebelum ini.
Tambahnya, dia terpaksa mengurangkan kerja di luar dan memperbanyakkan rehat di rumah.
“Memang berbeza. Dulu saya tetap bertenaga dan aktif walaupun sedang mengandung. Tetapi kali ini stamina dan kesihatan dipengaruhi oleh faktor usia.
“Kalau boleh saya mahu berbaring dan tidur sahaja di rumah. Saya juga kuat makan dan cepat letih sekarang. Berat saya sudah mencecah 63 kilogram.
“Saya harus berhati-hati dalam aktiviti seharian dan menjaga pemakanan. Saya bimbang nanti ada kencing manis dan tekanan darah tinggi. Elok jugalah tiada tawaran berlakon. Saya risau jika terlalu aktif untuk kehamilan kali ini,” katanya kepada Harian Metro.
Kata Shira, dia sudah menjangka dirinya akan hamil pada usia 40an kerana sejarah keluarga apabila ibu dan neneknya juga mengalami perkara sama.