Publish : Tue, 08/Sep/15 12:46:21 AM |
Views : 4746 |
DICALONKAN menerusi dua kategori pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke 27 iaitu Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita terbaik bagi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia serta Kami Histeria, sememangnya bagaikan satu mimpi bagi aktres cantik kelahiran Pekan, Pahang ini.
Dek kerana itu, apabila dia diumumkan sebagai pelakon wanita terbaik FFM 27, empunya nama Nur Fazura Sharifuddin ini terkesima kerana tidak menyangka dengan kemenangannya.
Sementelah calon-calon bagi kategori itu bukan calang-calang anak seni seperti Maya Karin, Lisa Surihani, Sara Ali serta pendatang baru, Dawn Cheong.
Dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, akuinya yang lebih dikenali sebagai Fazura, dia datang dengan hati terbuka pada malam anugerah itu.
“Memang saya sentiasa berdoa untuk kemenangan ini, malah ada bisikan-bisikan mengatakan kemungkinan saya akan menang.
“Walaupun tidak terlalu mengharap, tetapi saya memang terkejut dengan kemenangan ini,” katanya.
Akuinya, berjaya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM adalah impiannya selama ini.
“Kerana itu saya menangis ketika diumumkan sebagai pemenang. Saya tidak pernah mengimpikan kepopularan sebaliknya saya mahu menjadi seorang pelakon yang terbaik dalam bidang ini.
“13 tahun sebagai anak seni, inilah yang saya mahukan dan hari ini ia telah menjadi kenyataan,” katanya.
Pelakon berusia 31 tahun ini memberitahu, kemenangan tersebut amat simbolik kepadanya.
“27 September ini adalah hari jadi saya, kebetulan pula kemenangan ini saya miliki pada sambutan FFM ke 27.
“Bagi saya ia cukup bermakna dan berharga,” jelasnya sambil berterima kasih kepada semua juri dan yang menyokongnya sehingga berada di tahap itu.
Bicara Fazura juga, kemenangan tersebut merupakan suntikan semangat untuknya bekerja lebih keras selepas ini.
“Selalunya kalau dah menang pelakon terbaik, orang akan takut nak ambil kita berlakon kerana disifatkan ‘demand’.
“Tetapi tidak bagi saya. Bagi saya, pengiktirafan ini adalah kayu pengukur untuk seorang pelakon itu menjadi lebih baik.
“Bukan mendongak ke langit,” katanya.
Kagum dengan Ifti Liyana
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya yang memainkan peranan Ifti Liyana menerusi filem tersebut, ujar Fazura, dia sangat mengagumi karakter itu.
“Ifti watak yang hebat dan mencabar bagi saya. Kerana itu, apabila menang menerusi peranan itu, saya rasa usaha menjadi Ifti terbayar.
“Lagipun, Ifti boleh dikatakan ada persamaan dengan saya, berbeza dengan filem-filem yang saya lakonkan sebelum ini seperti Pisau Cukur, Gol & Gincu dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, dia juga bersyukur meskipun tidak terlibat sebagai pelakon Istanbul Aku Datang, tetapi dia akhirnya berjaya menerusi Manisnya Cinta Di Cappadocia.
“Inilah hikmahnya walaupun saya tidak berlakon dalam Istanbul Aku Datang.
“Jadi, saya sangat berharap selepas ini diberikan lagi watak-watak seperti Ifti,” katanya gembira kerana mempunyai mentor seperti Bernard Chauly yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada dalam bidang ini.
Berkongsi mengenai pelakon lain yang turut dicalonkan menerusi kategori berkenaan, kata Fazura, setiap pelakon itu mempunyai kekuatan dan kehebatannya tersendiri.
“Mereka adalah pelakon yang bekerja kuat dalam industri ini, saya sendiri masih tidak percaya dengan kejayaan ini,” katanya berpuas hati jika kerjaya seninya ditamatkan kerana bersara atau berkahwin selepas ini.
Sedikit mengenai perjalanan seninya, anak ketiga daripada empat beradik ini pernah berlakon sekurang-kurangnya 12 filem sepanjang penglibatannya sebagai anak seni.
Antara filem lakonannya termasuklah Bicara Hati (2004), Senario XX (2005), Qaisy dan Laila (2005), Gol & Gincu (2005), Kayangan (2007), Selamat Pagi Cinta (2008), Pisau Cukur (2009), Lagenda Budak Setan (2010), Bujang Terlajak (2012), Kami Histeria (2014), Tembus (2014) dan Manisnya Cinta Di Cappadocia (2014).
Selain berlakon, Fazura turut terkenal sebagai model dan pengacara.