Publish : Fri, 13/Oct/17 04:10:58 PM |
Views : 16356 |
Boleh tahan lincah juga kegiatan individu bergelar Datuk yang dikatakan bukan saja telah menjerat Che Ta ke dalam perangkapnya, malah Aeril Zafrel dan Wawa Zainal turut menjadi mangsa. Tambah Che Ta, dia telah diperdaya sejak tahun lalu berkaitan produk minyak wangi keluaran syarikatnya.
“Saya ingat, saya boleh mempercayai dirinya. Tetapi rupa-rupanya dia berniat jahat apabila menipu saya hingga mengalami kerugian sebanyak RM50,000. Bayangkan, banyak duit yang diperolehnya dengan hasil penipuan”
“Malah, dia boleh tukar kereta mewah, tambah isteri dan macam-macam lagi dengan hidup menipu orang. Saya akhirnya memutuskan untuk menghalalkan saja. Insya-Allah, saya reda. Biarlah hidupnya tidak senang kerana menyusahkan orang dan semoga dia juga akan berubah,” jelas Rozita kepada BH Online.
Sementara itu tambah Che Ta, walaupun tiada perjanjian hitam putih namun bukti pembayaran tetap ada. Namun pelakon wanita ini mengambil keputusan untuk tidak menghebahkan perkara tersebut kerana ia bermula daripada kesilapannya sendiri yang tidak membuat perjanjian rasmi.
“Saya malas hendak menghebahkan perkara ini, apatah lagi membuat laporan polis kerana silap saya juga apabila tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya. Merayu dan meminta pun tak diendahkannya. Tak apalah, doa orang yang teraniaya selalunya dimakbulkan,” kongsinya lagi.